Khamis, 5 Mac 2009

Dahi cecah ke sejadah

Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan
Berwudhu'lah kamu sebelum kamu di wudhu'kan
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan

Tutuplah 'auratmu sebelum 'auratmu ditutupkan
Dgn kain kafan yg serba putih
Pada waktu itu dan tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yg hadir itu merintih

Selepas itu kamu akan diletakkan di atas lantai
Lalu dilaksanakan solat jenazah
Dgn empat kali takbir dan satu salam
Beserta fatihah , selawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan fardhu kifayah

Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?
Apakah solat jenazah tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar rukuk dan sujudmu yg telah luput ?
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan begitu

Justeruku menyeru sekalian muslimin dan muslimat
Usungkan dirimu ke tikar solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan makanan ulat
Iringi dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke pusara

Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa'
Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan 'izrail yg menakutkan
Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ia berguna utk yg tinggal
Bukan yg pergi

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan
Ingatlah dimana saja kamu berada
Kamu tetap di bumi Tuhan
Serta menikmati rezeki Tuhan

Justeru bila DIA menyeru , sambutlah seruan NYA
Sebelum DIA memanggilmu buat kali yg terakhirnya
Ingatlah kamu dulu hanya setitis air yg tidak bererti
Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi seketul daging
Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yg mempunyai erti
Ingatlah asal usulmu
Yang kalau jatuh ke tanah
Ayam tak patuk , itik tak sudu
Tapi ALLAH mengangkatmu ke suatu mercu
Lahirlah bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat

Sambutlah seruan " Hayya al Solah "
Dgn penuh rela dan bersedia
Sambutlah " Hayya alal Falah "
Menjadi kemenangan akhirat dan dunia
Ingatlah yg kekal adalah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di pejalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan
Pada hari itu tiada berguna harta
Isteri , suami , kad kredit dan kereta
Kondominium , saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia